Tuesday, June 2, 2009

EDISI KHAS 1: Di Ambang Muktamar

Penerimaan Pencalonan : Husam Haji Musa

 

Dengan Nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang
Maha Berkuasa Atas Semua Perkara
Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mulia.

1.      Saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana sekali lagi mendapat kepercayaan ahli-ahli untuk terus memimpin Parti Islam SeMalaysia PAS sebagai Presidennya. Beliau mempunyai tsiqah dan kepercayaan yang tinggi dari ahli-ahli untuk memimpin PAS berasaskan Islam yang komprehensif dengan pendekatan yang mampu melonjakkan sokongan masyarakat silang budaya dan agama di Malaysia.

 

2.      Sebagai sebuah parti yang mengamalkan kepimpinan kolektif, lengkap melengkapkan ntara satu sama lain dan dipandu oleh Majlis Syura Ulama', saya yakin bahawa andingan yang mantap boleh membantu Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memimpin PAS terus menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama negara pada masa akan datang.

 

3.      Setelah mempertimbangkan semua aspek; termasuk pengharapan yang dinyatakan oleh Kawasan-Kawasan PAS di seluruh negara, baik yang mencalonkan saya atau pun tidak, serta keputusan Majlis Syura yang bersidang pada 10 Mei 2009 yang menyatakan tidak ada ketetapan bahawa jawatan yang saya akan tandingi adalah khusus, tertutup dan eksklusif, serta, pengurusan dan kepimpinan pada peringkat tertentu yang memerlukan satu semakan untuk keperluan semasa yang mendesak, saya dengan segala rendah diri, tawadhu' dan semangat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w untuk tegur menegur baik dengan lisan mahupun tindakan, mengumumkan menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2009/2011.

 

4.      Saya yakin, kawasan-kawasan yang mencalonkan saya, melaksanakan pencalonan itu dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan yang tidak harus diperkecilkan oleh mana-mana pihak atas kematangan dan pengharapan mereka.

 

Melalui semangat tarbiyyah Islamiyyah yang telah dijalani oleh semua peringkat parti, terutama selepas Kepimpinan Ulama' mengambil alih teraju kepimpinan PAS sejak 1982, serta amal Islami dan adab jamai'ie yang berteraskan ukuran ukhrawi yang menjadikan PAS berbeza dari parti politik yang lain, saya sangat berharap bahawa keputusan saya ini diterima dengan dada yang terbuka dan pertandingan ini berlangsung dalam semangat ukhuwwah Islamiyyah dan ethika persahabatan yang tinggi. Semoga segalanya berjalan sebagai ubudiyyah dengan segala tertib dan rukunnya.

 

Sesungguhnya, saya bersetia dan menyatakan wala' saya yang tidak berbelah bahagi kepada PAS, Presiden Parti, Mursyidul Am dan Majlis Syura seperti sepatutnya dilakukan oleh ahli parti yang terdidik.

 

5.      Saya yakin, ahli-ahli tidak terpengaruh dengan percaturan UMNO/media-media tertentu atau mana-mana pihak luar untuk mencorakkan keputusan ahli dalam pemilihan saf kepimpinan PAS nanti.

 

6.      Berdasarkan waqi' atau realiti politik negara pada hari ini, saya berkeyakinan bahawa sudah sampai masanya PAS berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan PAS menjadi pesaing UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan.

 

Penolakan ke atas UMNO adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerentahan dari hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya UMNO dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia.

 

Segala keburukan yang berlaku dalam negara ini, baik amalan demokrasi yang tempang, kehilangan rule of law dan runtuhnya kepercayaan terhadap semua institusi utama dalam negara, peningkatan jenayah, keruntuhan akhlak dan kepincangan- kepincangan yang lain memerlukan islah yang menyeluruh dengan kedudukan PAS sebagai teraju perubahan, dengan izin Allah.

 

7.      Kepercayaan masyarakat bukan Islam yang semakin subur terhadap PAS kini tidak harus sama sekali dipersia-siakan baik dalam konteks dakwah mahu pun pengukuhan politik menuju kedudukan sebagai parti yang paling dipercayai, bersekali dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dengan kedudukan PAS yang mampu berdiri sama tinggi.

 

Saya, Husam Haji Musa, dengan ini, mengumumkan menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS. Kepada Allah saya bertawakkal.

 

30 Jumad Al Ulaa 1430
25 Mei 2009

Pejabat Agung Pas,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment