Wednesday, July 29, 2009

1 OGOS 2009 : MANSUHKAN ISA


Jika kita tidak pernah makan durian, tentu kita tidak akan tahu bagaimana sedapnya rasa durian itu. Begitu juga dengan penderitaan ahli keluarga tahanan ISA. Kita tidak dapat merasai walau secebis penderitaan mereka kerana kita tidak berada di tempat mereka. Namun, sebagai saudara seislam, mereka juga adalah ahli keluarga kita. Oleh itu, sama-sama kita memberi sokongan kpd mereka… Jika ada kesempatan masa, warga TintaSrikandi dan seluruh kepimpinan DMP Hulu Langat menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai HIMPUNAN 1 OGOS 2009 bagi memastikan KEZALIMAN ISA akan dihentikan… !!!



Sama-sama kita hayati secebis kisah dari KEMTA…..

Satu peristiwa berdarah dalam Kemta yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 Disember 2004. Ia berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang, Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di Kemta. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah Kemta ketika itu, sempat saya mengingatkan beliau jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang, bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.

Pagi 8 Disember 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging, main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebih kurang jam 9.00 pagi, semua wardar yang bertugas di semua blok (enam blok) diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa diawasi. Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni wardar tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA, segala-galanya boleh berlaku.

Ringkas cerita di ruangan yang terhad ini, pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih 100 UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan, merempuh masuk menyerang OT.

Dalam insiden itu semua OT dipukul semahunya, hingga ada yang pengsan, patah jari, cedera di kepala, betis dan anggota badan lain. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 100 meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok, bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan.

Hampir semuanya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang. Pada malam baru seorang demi seorang dibawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut, doktor yang merawat OT, amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.

Tak cukup di situ, esoknya operasi berjalan pula di blok-blok lain. Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter. Sepanjang perjalanan itu, mereka dipukul, sepak terajang, maki hamun hingga ada yang mencabar 'Allah turun bantu OT'. Terdapat juga wardar Kemta yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang dibawa melintasi mereka. Paling menyedihkan, terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz, dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok.

Mungkin sukar untuk anda percaya, tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk daripada pihak Kemta dengan alasan mereka mendapat arahan daripada KDN.

Dalam satu kes lain, Pak Lah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB. Isteri muda ini ditangkap di dalam rumahnya di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebih kurang empat tahun. Ketika si ibu dibawa pergi di tengah-tengah malam, anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas.

Anda bayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa !!!!

Begitulah sekelumit daripada segunung kezaliman ISA. Tahanan yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik, adil, bertanggungjawab dan tahanan mereka adalah wajar. Jika tidak, mereka dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengingatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu roma, setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak.

HAPUSKAN ISA !!!!

No comments:

Post a Comment