Wednesday, February 10, 2010

Mahkamah akui method RAMPASAN KUASA

KOTA BHARU, 9 Feb: “Itu keputusan mahkamah seperti mengakui rampasan kuasa yang berlaku di Perak dan bukannya melalui pilihan raya,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Oleh itu, beliau meminta rakyat di seluruh negara khususnya Perak memprotes sekurang-kurangnya dengan cara benci.

“Allah Taala menterjemahkan rasa benci-Nya terhadap manusia yang kufur serta fasik dan derhaka.

“Apa yang berlaku di Perak adalah kerja fasik kerana mereka menang tidak melalui pilihan raya dan pihak yang menang itu pula melompat keluar dari kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.


Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, selepas tiga Adun Pakatan Rakyat mengisytihar sebagai wakil rakyat Bebas tahun lepas. Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat memprotes keputusan mahkamah kerana seolah-olah mengesahkan mereka yang melompat parti.

Katanya, perlu diperjelaskan perbuatan melompat parti sehingga menjatuhkan kerajaan Perak yang dipilih rakyat secara sah mengikut demokrasi adalah salah. “Sekiranya keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah baru-baru ini diprotes pihak tertentu, tidak ada salah juga protes yang sama juga perlu dibuat berhubung kes mahkamah hari ini,” ujarnya.

Katanya, walaupun tidak menentang dengan demontrasi, namun ia boleh dilakukan dengan cara menanam rasa benci di hati rakyat berhubung perkara itu. Kata beliau, melompat parti disifat sebagai pecah amanah rakyat yang mengundi mereka.

Tambahnya, pecah amanah sedemikian akan berulang pada masa akan datang disebabkan mereka semakin galak melakukan kerja jahat. “Tidak mustahil huru hara akan berlaku di negara ini sekiranya tindakan galak tersebut dibiarkan berterusan,” ujarnya.

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pula mencabar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya membubarkan Dun Perak dan bertarung di 'mahkamah rakyat'. Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang masih berkumpul di pekarangan Mahkamah Persekutuan tengah hari ini.

Bercakap pada sidang media sebelum itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung Menteri Besar Perak yang sah tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya Dun Perak perlu dibubarkan supaya dipilih semula wakil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu. Begitupun, beliau menerima keputusan mahkamah itu.

“Kita terima keputusan mahkamah walaupun ia menyedihkan bagi kita,” ujarnya yang juga Adun Pasir Panjang. Beliau juga menyeru rakyat supaya bertenang dan jangan ada yang bertindak dan melakukan provokasi.

Baginya, keputusan itu merupakan petanda amat hitam di Malaysia kerana rakyat negeri Perak mahu diberi ruang sebesar-besarnya untuk memilih pemimpin negeri.

No comments:

Post a Comment