Wednesday, December 2, 2009

BERI ROYALTI & ROMBAK BTN

KENYATAAN MEDIA GERAK MALAYSIA
1 DISEMBER 2009

BERI KELANTAN ROYALTI & ROMBAK BTN DEMI INTEGRITI

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa agar Kerajaan Pusat mengkaji semula keputusan berkaitan royalti minyak dengan memberikan royalti 5% hasil pengeluaran minyak oleh Petronas kepada Kelantan selaras dengan kedudukan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak. Gerak berpandangan tidak ada istilah wang ihsan menurut Akta Petroleum Negara 1974 seperti mana yang telahpun ditegaskan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah terlibat sebagai pengasas Petronas. Jika negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu boleh diberikan wang royalti sebagai negeri pengeluar minyak. Maka mengapa tidak diberikan juga hak royalti 5% kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk diuruskan.

Gerak percaya Kerajaan Negeri Kelantan akan menguruskan wang royalti dengan telus dan bertanggungjawab sekiranya Kerajaan Pusat bersifat terbuka untuk menyemak kembali kedudukan pemberian wang royalti bagi diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Kredibiliti Kerajaan Pusat dan Petronas akan lebih terserlah dengan menghormati Akta Petroleum Negara.

Adalah menjadi hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan wang tuntutan ganti rugi hasil daripada aktiviti cari gali petroleum dan amat wajar untuk Petronas membayar wang royalti 5% atau bayaran tunai 5% (cash payment) kepada Kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu sikap yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Pusat BN selepas tewas di Terengganu pada tahun 1999 dengan menukarkan status wang royalti menjadi wang ihsan dan sekarang apabila Kerajaan BN menang semula di Terengganu ditukar kembali status kepada wang royalti.

Semangat federalisme yang penuh integriti wajib diamalkan oleh Kerajaan Pusat dalam isu royalti minyak ini. Dalam perkembangan lain, Gerak juga menyarankan agar Kerajaan Pusat mengkaji semula silibus Program Biro Tata Negara (BTN) agar ianya tidak disemai dengan semangat perkauman. Silibus yang baik seumpama bagi menaikkan semangat patriotismedan jati diri peserta boleh dikekalkan agar menjamin perpaduan dikalangan rakyat.

Gerak juga mencadangkan agar silibus integriti dan anti korupsi diterapkan sebagai salah satu daripada silibus Program Biro Tatanegara (BTN) dalam suasana negara pada hari ini berhasrat membentuk Good Governance. Isu-isu integriti sering menjadi agenda Perdana Menteri dan termasuk juga pimpinan pembangkang. Adalah menjadi suatu kelompangan dalam pengisian program BTN sebagai program pembinaan jati diri jika tidak memuatkan nilai-nilai dan informasi berkaitan agenda membudayakan integriti dan anti korupsi dalam jiwa peserta yang rata-rata terdiri daripada kakitangan awam dan generasi muda termasuk mahasiswa. Gerak bersedia bersama kerajaan dalam merencanakan pengisian integriti dan anti korupsi tersebut.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK Malaysia



No comments:

Post a Comment