Wednesday, January 20, 2010

BERJIHAD MENGESAKAN KALIMAH ALLAH

Semenjak keputusan mahkamah membenarkan majalah ‘The Christian Herald’ menggunakan kalimah ‘ALLAH’, isu tersebut sehingga kini mendapat perhatian umum. Adapun pada dasarnya kalimah ‘Allah’ itu bukanlah sepatutnya menjadi perebutan antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya semua pihak diseru mendalami pengertian sebenar Allah itu sendiri dengan ilmu.

 

Namun perkara asas yang wajib difahami oleh semua umat islam adalah kefahaman dalam konsep tauhid dan Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Dengan ilmu tersebut dapat membezakan di antara yang layak dan yang tidak layak dalam meletakkan Keagungan kalimah ‘Allah’. Tanpa kefahaman yang sebenar, hakikatnya kita sudah pun berada di dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’.

 

Dalam pemasalahan ini, yang jelasnya sekarang ada umat islam yang marah dan merasa terancam kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh yang bukan islam sehingga ada yang bertindak di luar batasan dan ada pula yang sekadar berdiam diri seolah-olah tiada kewajiban keatasnya untuk menegakkan agama Allah.

 

Bagi mencari penyelesaiannya jalan terbaik adalah dengan merujuk kepada ayat Kitab suci Al-Quran dimana ia menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisis hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi.


Firman Allah SWT “Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah al-Ankabut, 29: 43)

 

Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam dituntut untuk berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah.

 

Jihad yang dimaksudkan diperkemaskan iaitu menerusi hadis daripada Anas r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fi-sabilillah sehingga ia kembali.” Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis Hasan.

 

Justeru itu seharusnyalah kita mengambil peranan untuk berjihad dalam penyebaran ilmu agama kepada masyarakat kita agar tidak dibelenggu oleh kejahilan disamping mengekang kejadian yang buruk. Sesungguhnya jihad itu merupakan perkara yang dituntut dalam agama.

 

Maka renungkanlah mengapakah jihad yang semudah menghadirkan diri di majlis ilmu kita memperlekehkan. Peliknya walaupun kita tahu ibadah berjihad itu tersangat besar disisi Allah SWT namun sekali pun dalam sebulan tidak mampu duduk bersama-sama menghidupkan majlis ilmu. Renungkanlah juga sebabnya kecelaruan masyarakat kita kini adalah kerana menolak majlis-majlis ilmu disurau dan di masjid sebaliknya sibuk dengan mengejar keseronokkan dunia.  

 

Moga-moga dari bacaan tulisan ini kita beroleh hidayah dan taufik dari Allah SWT. Moga-moga seluruh kehidupan kita di rahmati.

 

No comments:

Post a Comment