Friday, January 15, 2010

SOLAT SUNAT GERHANA

ASSALAMUALAIKUM WRT..

 

Salam buat semua pembaca setia blog Tintasrikandi ini. Semoga kita sentiasa berada dalam keberkatan Allah selamanya, insyaallah. Pada hari ini 15 Januari 2010, Allah swt akan memperlihatkan kepada kita fenomena Gerhana Matahari yang merupakan salah satu kekuasaan dan keunikan penciptaan Allah terhadap ciptaannya yang maha agung. Hanya Allah swt yang maha berkuasa menjadikan sesuatu, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita sentiasa bersyukur dan tunduk serta taat kepada segala perintahNYa. Fenomena ini juga memberi erti yang besar bagi penghayatan iman kepada Allah.

 

Jesteru, Tintasrikandi menyeru supaya seluruh umat Islam untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari pada hari ini mulai 3.15ptg hingga 5.45 ptg. Solat sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari. Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.


Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu.

 

Cara Solat Sunat Gerhana

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir

No comments:

Post a Comment