Monday, May 18, 2009

Suara Nadi Naib Ketua DMP



Assalamualaikum w.b.t.

Puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t, di atas limpah kurnia-NYA, kita masih dipanjangkan usia untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Masih ada peluang untuk kita meneruskan perjuangan sebagai khalifah-NYA seterusnya memaknakan kehidupan kita di dunia yang sementara ini.

Tarbiyah merupakan tunjang kepada gerakan PAS. Justeru, fokus saya untuk sesi kali ini adalah menggerakkan usrah remaja yang mensasarkan anak-anak ahli PAS sebagai peserta. Dalam kesibukan ibu bapa memberikan komitmen kepada parti, tarbiyah anak-anak ahli perlu dititik beratkan dan tidak boleh dipandang enteng dan seharusnya bermula sejak mereka di usia remaja lagi.

Dewasa ini, pelbagai faktor luaran dilihat boleh mempengaruhi peribadi remaja, seperti program TV yang penuh hiburan, pergaulan rakan sebaya, ditambah pula dengan penekanan di sekolah yang terlalu menumpukan kepada pencapaian peperiksaan dan mengabaikan soal akhlak dalam kehidupan. Tanpa pedoman dan bimbingan diberikan kepada para remaja, mereka pasti mudah terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat, meskipun ibu dan bapa mereka merupakan ahli yang aktif di dalam parti.

Usaha ini, bukan sahaja penting ke arah kesinambungan survival PAS mahupun sebagai wadah dalam menyediakan pelapis kepimpinan parti pada masa akan datang, tapi, apa yang lebih utama dan paling asas, adalah pembentukan insan yang sedar tentang dua tanggungjawab kejadian manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah-Nya. Hanya dengan kesedaran ini, keikhlasan untuk terlibat dan menyumbang kepada gerakan Islam akan makin subur dan bercambah, khususnya di kalangan anak-anak ahli, insya Allah.

Di samping itu, saya menyarankan muslimat agar terus mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, di samping membina keterampilan dan keberanian diri untuk memimpin masyarakat sebagai persediaan kita untuk menjadi parti yang memerintah pada masa akan datang. Insyaallah. Usaha untuk ini tidak terbatas kepada umur mahupun pekerjaan. Sebagai ahli gerakan Islam, usaha menambah nilai terhadap keupayaan dan kemampuan diri harus berlaku sepanjang hayat supaya hubungan 3 dimensi, iaitu hubungan dengan Allah, diri sendiri dan masyarakat menjadi suatu hubungan yang berkualiti dan sempurna.

Penerangan tentang Islam dan pendirian parti terhadap isu-isu yang berlaku juga haruslah disampaikan secara berhikmah dan lemah lembut kepada masyarakat agar mereka memahami dan rasa berkehendak kepada cara hidup Islam yang sempurna. Mesej Islam ini harus disampaikan dalam segenap medan dan peluang yang ada, tanpa mengira masa dan tempat, dan mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing. Sebagai ejen dakwah, muslimat seharusnya peka kepada perkembangan semasa, di samping mempraktikkan akhlak yang mulia dalam pergaulan seharian dengan masyarakat. Inilah dakwah acuan Rasulullah yang sangat berkesan dalam memenangi hati mad’u (sasaran dakwah).

Bagi mencapai matlamat dakwah ini, budaya saling tampung-menampung (top-up each other) di kalangan muslimat perlu diperteguhkan. Kepelbagaian personaliti, kemahiran dan kekuatan diri dalam kalangan ahli muslimat juga harus dimanfaatkan untuk kepentingan Islam dan juga parti.

Akhirnya, saya menyeru diri saya dan seluruh muslimat agar menjaga hubungan baik dengan Allah Taala dan sentiasa menyandarkan usaha, harapan dan matlamat kita hanya kepada-Nya. Sesungguhnya, dunia adalah tempat ujian dan tidak hairanlah jika kita berasa susah dan perit dalam menjalani kehidupan dunia, kerana matlamat hakiki kita adalah kebahagiaan di akhirat nanti, insya Allah.

Salam perjuangan,

Cik Hafizah Zaidi
Naib Ketua
Dewan Muslimat PAS, Kawasan Hulu Langat, Selangor

No comments:

Post a Comment