Tuesday, November 10, 2009

BAI'AH TAKLIK ???

Salahuddin nafi Pas ada dasar bai'ah taklik

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Pas tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar mengehendaki pemimpin parti itu melafazkan bai'ah taklik, iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

"Secara rasminya tidak ada kenyataan atau arahan daripada Majlis Syura tentang perkara ini. Tunggulah jawapan rasmi daripada majlis itu," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, bai'ah memang dilakukan oleh pemimpin parti pada hari pertama mereka memegang jawatan tetapi ia sama seperti sumpah jawatan dan simpan rahsia, tetapi bukan seperti yang didakwa. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, daripada Pas baru-baru ini mengakui bahawa wujudnya bai'ah seperti itu bagi wakil rakyat Pas yang berhenti atau keluar parti.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata di Kedah bahawa pemimpin atau wakil rakyat Pas tidak pernah diminta melafazkan ikrar bai'ah cerai talak tiga seperti yang didakwa oleh Khalid itu.

"Isunya sekarang ialah tiada siapa yang mahu menceraikan isteri malah nak tambah lagi adalah, dan tidak ada arahan pun untuk berbuat demikian. Kami juga tidak tahu kerana di peringkat pusat pun tidak ada arahan seperti ini," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa, pula mempertahankan bai'ah yang wujud dalam parti itu dengan alasan untuk mengelak wakil rakyat mereka daripada dibeli oleh Umno.

"Saya rasa isu bai'ah dibangkitkan oleh Umno sebab mereka tahu mereka tidak boleh rampas wakil rakyat Pas. "Kalau kita menang atas tiket mana-mana (parti) kemudian kita lompat parti lain, ini salah dari segi hukum. Bai'ah ini ialah bagi mempertahankan amanah ini," katanya.

Husam berkata, tidak ada hukum yang menyatakan bahawa bai'ah itu salah dan beliau sendiri secara sukarela menerimanya kerana tidak mahu beralih arah ke parti lain.

Tintasrikandi :

JANGAN SESEKALI KITA MENARI MENGIKUT RENTAK YANG DIPALU OLEH MUSUH..SAMA-SAMA KITA FIKIR-FIKIRKAN..

No comments:

Post a Comment