Tuesday, November 17, 2009

JANGAN GOPOH DALAM BICARA

ALMARHUM ALSYEIKH SAID HAWWA
Mengapa sepi?

Bukan tidak ada isu yang mahu diperkatakan. Bukan tidak ada topik ilmu yang mahu dikongsikan. Tetapi ia tidak berlaku. Segalanya berakhir dengan diam. Saya sedang menyelak lembaran-lembaran kitab kecil tinggalan Said Hawwa.

Orangnya sangat berhalus, kritikannya amat berhemah. Tetapi Said Hawwa tetap tidak disenangi oleh segelintir pendukung gerakan al-Ikhwan al-Muslimin. Macam-macam label yang dilontarkan kepada beliau semasa hayatnya. Tetapi buku yang satu ini, besar maknanya jika pembacanya berjiwa besar untuk menerima kritikan Said Hawwa.

Buku yang saya maksudkan itu adalah Jundullah: Takhtithan. Naskhah yang ada bersama saya adalah terbitan Maktabah Wahbah, cetakan kedua tahun 1995.

Di dalam Fasal 6 di bawah tajuk Ketaatan dan Syura (al-Tha’ah wa al-Syura), Said Hawwa menggarap persoalan konteks dalam membicarakan salah letak yang berlaku di kalangan gerakan Islam.

Katanya, “sesungguhnya aku melihat adanya segelintir manusia yang menghairankan aku. Aku melihat mereka melayan isteri masing-masing seolah-olah si isteri itu adalah orang suruhannya. Perlakuan itu beralasankan hak ditaati yang diberikan oleh Islam kepada suami ke atas pihak isteri, dan itu menjadikan si isteri sebagai orang suruhan suaminya.”

Said Hawwa berhalus dengan memulakan bab ini dengan contoh yang berlaku di peringkat individu berkaitan dengan bidang kuasa dan ketaatan. Seorang suami boleh sahaja menyalahtanggap haknya sebagai suami dengan menjadikan ia sebagai alasan untuk memperhambakan isteri.

Bukan salah Islam. Tetapi tafsirannya yang tersasar.

Said Hawwa menyambung lagi dengan katanya, “aku juga melihat segelintir kepimpinan Islam melayan pengikut-pengikutny a seperti hamba. Ia datang daripada tanggapan bahawa dirinya adalah Amir al-Mu’minin yang berhak untuk menerima ketaatan yang mutlak.”

Persoalan salah letak peraturan-peraturan Islam dikembangkan kepada subjek yang ingin disentuh secara khusus oleh Said Hawwa. Apa yang eksklusif menjadi tatacara hubungan di antara Amir al-Mu’minin dengan rakyatnya, diterap secara salah untuk seorang pemimpin mendesak ketaatan mutlak pengikut kepada dirinya. Beliau melihat kedudukannya sebagai pemimpin gerakan Islam, menjadikannya rakan sejawat dengan seorang Amir al-Mu’minin..

Inilah permulaan kritikan Said Hawwa kepada konsep Syura dan keputusan-keputusan yang terhasil daripadanya di dalam konteks sebuah gerakan Islam. Syura sebagai mekanisme pemerintahan, diambil tanpa tatacara dan garis panduan yang betul (dhawabith) untuk diimplementasikan dalam disiplin berjemaah sebuah gerakan Islam.

Said Hawwa menegaskan lagi,

“Sesungguhnya aku melihat adanya segelintir manusia yang mendakwa bahawa apabila sebuah tanzim bercakap (membuat keputusan), maka ia tidak berhajatkan kepada dalil syar’ie (sebagai sandaran), dan keadaan seperti ini hakikatnya adalah penganugerahan status maksum kepada yang pihak yang tidak berhak memiliknya. Ia adalah jalan diktatorisme dan pembekuan peranan nas.”

Teguran-teguran itu menyebabkan dada saya membuak-buak. Kepala hilang tenang. Terasa bagai Said Hawwa menyokong apa yang sedang saya rasai. Seolah-olah buku itu ditulis untuk saya dan bagi pihak saya. Justeru atas nama kebebasan bersuara dan hak amar ma’ruf nahi mungkar sama ada di dalam lingkungan tanzim atau pun di luarnya, saya mahu menulis sepanjang-panjangny a. Menyatakan rasa tidak setuju, malah menyatakan rasa mual juga dengan justifikasi- justifikasi yang dihasilkan di sana-sini untuk mewajarkan subjek yang gagal saya persetujui itu.

Tetapi apa gunanya jika apa yang saya tulis itu hanya berjaya menjelaskan pendirian saya (menegakkan kebenaran?), sedangkan implikasinya adalah kemusnahan reputasi gerakan Islam yang masih menjadi satu-satunya harapan realistik masyarakat untuk meruntuhkan jahiliyah di medan siasah negara.

Saya bukan pejuang teks. Mahu memenangkan teks dengan mengorbankan realiti. Menegakkan prinsip yang dianggap betul, di atas keruntuhan, kemusnahan serta anarki mikro dan makro, saya tidak pasti apakah itu yang saya mahukan.

Justeru kalam terhenti seketika. Tazkirah dari al-Murabbi Said Hawwa itu sudah memadai.Saya mahu menghalusi liku-liku bicara Allah buat Jundi-Nya.

Jangan gopoh dalam berkata.

SOURCE : ABU SAIF @ www.saifulislam. com

No comments:

Post a Comment